28 Dec 2012
Banyak pengurup wang kehabisan ringgit
Oleh
NUR'ADILAH MAHBOB
BEBERAPA pengurup wang kehabisan ringgit Malaysia kelmarin dan semalam apabila nilai dolar Singapura meningkat berbanding mata wang Malaysia itu.
Menurut beberapa pengurup wang ini disebabkan permintaan yang melonjak pada musim cuti dan kadar pertukaran yang mencapai RM2.50 bagi setiap dolar Singapura, kelmarin.
Ini hampir mencecah RM2.51 pada Julai lalu - kadar tertinggi dalam 14 tahun.
Ketika dihubungi Berita Harian tengah hari semalam, pengurup berdekatan Mustafa Centre di Syed Alwi Road, Taqwa Foreign Exchange, melaporkan ia kehabisan ringgit.
Satu lagi pengurup di Causeway Point dekat Woodlands, Alkaf Foreign Exchange, berkata ringgitnya laris dan hampir habis.
Lapan lagi pengurup wang berdekatan kawasan Chinatown, Woodlands dan Little India yang dihubungi BH semalam melaporkan mereka masih memunyai ringgit.
Daripada 10 pengurup wang yang dihubungi akhbar ini semalam, kadar tertinggi yang ditawarkan ialah RM2.49 di Parkway Parade.
Keadaan dikatakan lebih 'gamat' kelmarin apabila kadar pertukarannya mencapai RM2.50.
MGM Foreign Exchange di pusat membeli-belah Paragon dekat Orchard merupakan antara pengurup wang yang kehabisan ringgit tengah hari kelmarin.
Julai lalu, dolar Singapura mencapai kadar tertinggi berbanding ringgit sejak Julai 1998 sewaktu krisis kewangan Asia.
Pakar ekonomi menjangka dolar Singapura terus meningkat berbanding mata wang lain di rantau ini disebabkan taraf kredit Singapura yang antara tertinggi di dunia.