- Joined
- Feb 26, 2019
- Messages
- 12,449
- Points
- 113
Abang jumpa adik selepas terpisah lebih 50 tahun
oleh NORHASPIDA YATIM05 September 2022 12:04pm

Kok Ong dan Hamsiah bertemu buat pertama kali di Taman Tasek, Bukit Payong, Marang selepas kedua-duanya terpisah sejak 58 tahun lalu.
MARANG - Ahad lalu merupakan detik bersejarah buat seorang lelaki warga Singapura yang bertemu adik perempuannya selepas kedua-duanya terpisah lebih 50 tahun.
Pertemuan istimewa antara Ling Kok Ong, 66 yang ditemani isterinya, Josephine Ng, 62, dan Hamsiah Mohamad, 58, berlaku di kedai makan yang diusahakan Hamsiah di Taman Tasek, Bukit Payong, di sini kira-kira jam 10 pagi.
Menurut Josephine, usaha mencari adik iparnya itu dilakukan bagi mengeratkan semula hubungan antara mereka yang terpisah sejak Hamsiah dilahirkan.
"Walaupun terpisah, kami semua sentiasa mengingati Hamsiah lebih-lebih lagi ibunya. Ibu Hamsiah ada menyebut teringin sangat bertemu dia sebelum menutup mata.
"Sebab itulah saya dan suami datang dari Singapura ke Terengganu untuk menjejakinya," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.
Pertemuan itu diaturkan Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun, Wan Mohd Rosli Wan Ngah.
Difahamkan, Hamsiah yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik diserahkan kepada pasangan suami isteri Melayu ketika dilahirkan untuk dijadikan anak angkat memandangkan pasangan itu masih belum dikurniakan anak ketika mereka tinggal di Bukit Besi, Dungun.
Perpisahan antara mereka bermula selepas keluarga Hamsiah berhijrah ke Singapura.
Mengimbau usaha menjejaki Hamsiah, Josephine berkata, dia dan suami telah ke Bukit Besi dua minggu lalu (17 Ogos) namun hampa kerana diberitahu keluarga angkat Hamsiah sudah berpindah dan bapa angkatnya pula sudah meninggal dunia.